BILANGAN PENGUNJUNG

Saturday 12 November 2011

UiTM Sarawak ungguli Fiesta Muda Mudi 2011

SHAH ALAM: Jauh bukan penghalang buat pasukan UiTM cawangan Samarahan Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan yang diadakan bersempena program Fiesta Muda Mudi UiTM 2011.

   UiTM Sarawak diwakili oleh 10 orang peserta menduduki tempat pertama dalam pertandingan Tilawah Al-Quran bagi kategori lelaki dan perempuan serta Pidato Islam.

   Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada semua pemenang di Dataran Tuanku Fauziah telah disempurnakan oleh Pengarah Pembanggunan Pelajar Dr. Mohd Bahrin Othman.

   Beliau dalam ucapannya menggambarkan kegembiraan dengan kejayaan program ini, “Program yang julung-julung kali diadakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sangat memberi kesan positif kepada pelajar dan seluruh warga UiTM”.

   Beliau juga menggambarkan bahawa program ini dapat dijadikan sebagai program tahunan dengan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti bagi mengasah kemahiran insaniah para pelajar.

   Menyifatkan ia sebagai satu motivasi terbaik buat seluruh pasukan yang bertanding, Pengarah program Fiesta Muda Mudi Mohammad Azahary Arjemi berkata, “semangat juang yang ditunjukkan oleh semua peserta menyukarkan pihak juri untuk menentukan pemenang”.

   Tambah beliau lagi “Sambutan daripada kampus-kampus cawangan sangat positif walaupun dalam waktu cuti semester bagi pelajar diploma”.

   Program yang diadakan bersempena pesta konvokesyen UiTM kali ke-75 ini menghimpunkan peserta daripada 13 buah kampus cawangan UiTM berkampung di Shah Alam bagi menyertai pertandingan seperti Tilawah Al-Quran, Hafazan, Kuiz Sirah, Seni Khat, Pidato dan Sirah Muzikal.

   Dianggarkan kira-kira 300 orang warga kampus menghadiri beberapa program lain seperti Forum Islamik dan Majlis Kesyukuran Bersama MPP yang turut diselitkan di dalam program selama seminggu ini.

   MPP sesi 2011/2012 selaku penganjur program dengan kerjasama Gabungan Jawatankuasa Perwakilan Kerohanian Kolej, Persatuan Mahasiswa Hadhari (PMH), serta Kelab Tabung Haji (TaHa) mengharapkan sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan program seperti ini kelak.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification