BILANGAN PENGUNJUNG

Saturday 12 November 2011

Peminjam Lelaki Liat Bayar Pinjaman

SHAH ALAM: Siapa yang tak kenal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-ratanya,hampir 90 peratus pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), memohon pinjaman PTPTN untuk meneruskan pengajian masing-masing.

   Sehubungan itu, media  melaporkan mengenai usaha PTPTN memburu hampir 100,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM1.9 bilion sejak 1997 dan biarpun beberapa kali notis amaran dikirim kepada mereka, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas daripada peminjam liat terbabit. 

   Hasil kajian yang dibuat oleh PTPTN ke atas data 99,877 profil peminjam menunjukkan sebahagian besar daripada peminjam adalah pelajar IPT yang majoriti terdiri daripada pelajar perempuan iaitu sebanyak 59 peratus.

    Analisis juga menunjukkan lebih ramai peminjam PTPTN yang tidak membayar balik pinjaman sebanyak 52 peratus berbanding mereka yang membayar balik pinjaman sebanyak 48 peratus.

   Mengikut statistik, peminjam yang liat untuk membayar balik pinjaman adalah terdiri dikalangan pelajar lelaki iaitu sebanyak 56 peratus manakala pelajar perempuan adalah kategori yang paling banyak membayar balik pinjaman iaitu sebanyak 52 peratus.

    Ini menunjukan pelajar perempuan lagi cenderung untuk membayar kembali pinjaman berbanding dengan pelajar lelaki yang hanya tahu menggunakan wang pinjaman tetapi liat untuk membayar balik apabila sudah bekerjaya.

    Mereka yang liat membayar hutang itu pula bukanlah kerana tidak mempunyai wang mencukupi, sebaliknya mereka lebih menumpukan kepada soal membeli kereta baru, rumah, mengadakan kenduri kahwin besar-besaran, bercuti dan berbelanja boros termasuk menggunakan kad kredit sehingga terlebih had pada setiap bulan.

    Disebabkan itu, mereka menghadapi masalah untuk menjelaskan hutang kepada PTPTN.
Bahkan, dahulu mereka membazirkan wang pinjaman dengan membeli pakaian berjenama dan telefon baru, sebaik saja wang pinjaman dikeluarkan awal semester pengajian.

    Menurut seorang pelajar lelaki, Zuhairie Sahrom, 23. Fakulti Pengajian Media, tidak dinafikan ramai dikalangan pelajar lelaki liat untuk membayar hutang tetapi ada juga dikalangan pelajar perempuan yang juga liat untuk membayar hutang apabila bekerjaya.

    Jasmin Anis Bt Noor Allam, 22, Fakulti Perakaunan, mengatakan terdapat segelintir pelajar menggunakan wang itu untuk membeli barangan yang tidak diperlukan sepanjang pengajian mereka.

    “Ada di antara rakan-rakan saya yang menyalahgunakan wang itu untuk membeli pakaian berjenama dan telefon bimbit baru, akibatnya pada pertengahan semester saya melihat mereka berdepan dengan masalah kewangan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

   Golongan seperti itu bolehlah dikatakan sebagai hanya mementingkan diri, tidak bertanggungjawab dan tidak peduli nasib pelajar baru yang mungkin terdiri daripada adik beradik mereka sendiri, sepupu, saudara mara atau rakan-rakan di kampung yang begitu mendambakan pinjaman PTPTN untuk meneruskan pengajian di IPT. 

   Semasa masih menuntut di IPT dahulu, mereka jugalah yang melenting di sana dan sini termasuk menghantar luahan perasaan tidak puas hati apabila lewat menerima pinjaman PTPTN.

   Namun, apabila sudah tamat pengajian, begitu mudah pula mereka melupakan segala jasa baik pihak PTPTN yang membantu membiayai pengajian mereka dahulu dan tanpa adanya perbadanan itu, pastinya banyak bekas pelajar tidak berada di kedudukan sekarang kerana dengan wang pinjaman itulah, mereka kini mulai meniti kejayaan dalam dunia kerjaya.

   Sehubungan itu, PTPTN akan menyenarai hitam nama peminjam tegar yang mungkin menyebabkan individu terbabit tidak boleh mendapatkan pinjaman sama ada perumahan atau pembelian kereta daripada bank tempatan dan tidak dapat ke luar negara.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification