KLANG: Persatuan Bahasa Jepun (JLS) melakar sejarah tersendiri apabila mengadakan “Japan Festival” atau J-Fest buat julung kalinya pada 15 Oktober lalu di Harbour Place Mall, Klang.
Festival yang berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang mendapat sambutan hampir 1000 orang pengunjung, termasuk pelajar- pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan juga para penduduk sekitar Klang.
Menurut Pengarah Projek, Muhammad Asuad Jahaya, 22, dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, perancangan rapi telah dijalankan oleh pasukannya sejak 5 bulan yang lalu memandangkan festival tersebut pertama kali diadakan di luar kampus.
“Persatuan kami telah berjaya mendapatkan penajaan penuh daripada pihak Harbour Place Mall untuk menaja kami dari segi tempat, hadiah pertandingan dan cenderhati.”
“Kami rasa amat berbangga kerana pihak Harbour Place Mall sendiri menjemput kami untuk menganjurkan aktiviti di sini.”
“Publisiti agresif dijalankan sejak dua bulan yang lepas melalui “fan page” di Facebook memudahkan kami untuk berinteraksi dengan orang awam dan mengajak mereka untk berkunjung ke festival ini,” kata beliau.
Biro Komunikasi, Wan Nur Amalina Al-bakri, 22, dari Fakuliti Undang-Undang menambah, pekhidmatan “shuttle bus” setiap dua jam memudahkan pelajar yang tinggal di dalam kampus untuk datang ke Harbour Place Mall.
Di samping itu, komuniti persatuan menjadikan aktiviti ini untuk memperkenalkan JLS kepada masyarakat
luar dan sekaligus membawa nama UiTM.
Pada masa yang sama, J-Fest dilihat sebagai platform untuk peminat kebudayaan Jepun, komik, manga dan animasi berkumpul untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi cita rasa mereka.
Acara yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harbour Place Mall, Encik Muzafar Abdul Rahman, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti sesi fotografi pakaian tradisional Yukata, pameran perlancongan Jepun, pertandingan melukis kartun manga, persembahan intstrumental dan yang paling menarik perhatian ialah pertandingan “cosplay”.
Pertandingan “cosplay” animasi Jepun pada sebelah tengah hari menyaksikan lebih 20 penyertaan daripada pelajar-pelajar UiTM sendiri dan orang awam yang memperagakan kostum mereka daripada rancangan-rancangan animasi dan permainan video yang popular seperti Final Destination, Guilty Gear, Naruto dan Bleach.
Pemenang utama cosplay pada hari tersebut, DanDan dan NiNi (bukan nama sebenar), mereka telah menyertai banyak pertandingan cosplay sejak 2005 dan telah menghabiskan ribuan ringgit sehingga hari ini untuk memenuhi minat mereka.
“Rekaan dan proses menyiapkan kostum dilakukan sedikit demi sedikit dan kostum yang kami pakai pada hari ini dijahit oleh ibu saudara kami,” kata mereka.
Gerai-gerai seperti Doujin & Anime, Comics Fiesta, Comics Directory, News Fan dan Cosplay Photobook yang mengambil bahagian dalam festival ini turut mendapat sambutan daripada para pengunjung.
Antara barang jualan yang terdapat adalah seperti komik, kraftangan, makanan Jepun, cakera padat animasi, drama dan filem Jepun, aksesori dan permainan.
Salah seorang pengunjung, Nadiah bt Mohd Nasir, 22, pelajar Fakulti Perubatan berkata beliau mendapat tahu tentang festival ini daripada rakan-rakannya dan datang untuk mendapatkan koleksi komik, di samping mencari kelainan festival tersebut.
JLS berharap dapat menganjurkan acara sebegini pada masa akan datang dengan kerjasama dan penajaan yang lebih besar supaya dapat mengumpulkan lebih ramai pencinta budaya dan bahasa Jepun di sekitar Selangor.
0 comments:
Post a Comment