Ketika media di negara ini sibuk mencanang nasib golongan gelandangan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, kini wujud pula golongan sama di institusi pengajian tinggi. Berbeza dengan mereka yang tinggal di bawah jambatan dan kaki lima, golongan ‘cerdik pandai’ ini pula menjadikan rumah sewa rakan sebagai tempat untuk menumpang teduh.
Sambil mengharapkan belas kasihan tuan rumah, kehadiran mereka turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penghuni sah yang bersusah payah mencari rumah dan menghabiskan sejumlah wang semata-mata untuk mendapatkan penginapan yang selesa.
Tidak cukup dengan itu, tetamu yang tidak diundang ini dikatakan turut menjadi punca perbalahan antara penghuni yang sebelum ini hidup aman damai. Perkara ini diakui sendiri oleh Yaya (bukan nama sebenar),22, seorang pelajar gelandangan yang telah empat kali berpindah-randah akibat pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Bahan sindiran
“Sampai bila engkau nak tinggal di sini? Dah ramai yang bertanya sebab mereka rasa tak selesa dengan kehadiran engkau”. Ya Allah, hati Jurnalis Shah Alam tersentuh tatkala Yaya memberitahu bahawa dia ditanya dengan soalan sebegitu oleh salah seorang rakan serumah kawannya.
“ Memang rasa segan dan malu dengan orang lain , tapi nak buat macam mana, dah tiada tempat tinggal, terpaksa juga tebalkan muka ni”, itulah luahan yang diungkapkan kepada Jurnalis Shah Alam ketika menemu ramah seorang pelajar gelandangan yang terpaksa hidup dalam keadaan yang bukan dipintanya apabila dia terpaksa menumpang rumah rakan-rakannya hanya sekadar untuk mendapatkan tempat berteduh untuk dia meneruskan kelangsungan hidup.
Rintihnya lagi, pelbagai sindiran yang dilemparkan oleh penghuni rumah rakannya apabila dia mula menjejakkan kaki ke rumah itu. Menjadi bahan bualan dan sindiran setiap hari amat menyakitkan, tetapi dia gagahkan juga diri menjadi gelandangan oleh kerana dia tidak mempunyai tempat lain untuk dia menumpang pakai.
Rayuan ditolak
Kisah pahit ini bermula apabila rayuan kolejnya ditolak. Yaya berkata bahawa dia ada memohon kolej di dalam UiTM, tetapi beliau terpaksa bersaing dengan puluhan dan ratusan pelajar lain yang mahu juga mendapatkan tempat di kolej yang ada.
“Keputusan rayuan kolej lambat dikeluarkan, mula-mula seminggu, selepas itu terpaksa tunggu minggu hadapan pula”, rintihnya lagi. Sementara menunggu rayuan, dia terpaksa menumpang di sebuah rumah rakannya di Pusat Komersial, Seksyen 7.
Selepas seminggu duduk menumpang dirumah kawannya, dia berhasrat untuk menduduki rumah tersebut dan sudah pun membayar sewa. Namun, pahit maungnya hanya Tuhan sahaja yang tahu apabila seorang ahli rumah tersebut tidak jadi untuk keluar dari rumah tersebut, maka, duit deposit Yaya dikembalikan. Yaya lantas terpaksa mencari tempat lain untuk berteduh.
Kemudian, dia menumpang di sebuah rumah rakannya yang juga rakan satu kelas di UiTM, yang terletak di Pangsapuri Danaumas. Yaya terpaksa berkongsi rumah yang bilangannya terdapat 7 orang kesemua sekali. “ Saya tidak ada pilihan, rumah rakan lain semua sudah penuh, tinggal bersama kawan sekelas sekurang-kurangnya saya boleh pergi ke kelas bersama-sama mereka yang lain”, katanya lagi.
Bernasib baik
Penderitaan hidupnya sebagai gelandangan selama dua bulan terhenti apabila nasib menyebelahinya apabila dia mendapat simpati rakannya yang mengajak dia bersama-sama menduduki rumah mereka. Hanya syukur yang mampu diucapkan apabila masih ada insan yang sanggup menerimanya di saat dia dalam kesusahan. Semoga nasib malang yang menimpanya tidak akan berlaku kepada para pelajar yang lain. “ Cukuplah penderitaan ini hanya berlaku kepada saya”, akhiri Yaya sambil menarik nafas lega.
0 comments:
Post a Comment