BILANGAN PENGUNJUNG

Saturday 12 November 2011

Sambutan HIMPUN Hambar

SHAH ALAM: Penganjur Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) menyasarkan lebih 100,000 penyertaan namun ternyata bilangan peserta yang hadir  tersebut jauh lebih kecil berbanding jumlah yang  dijangkakan.

   Perhimpunan tersebut terpaksa dimulakan lewat satu setengah jam ekoran sambutan dingin apabila hanya sekitar 3,000 peserta yang hadir  memenuhi Stadium Shah Alam, namun jumlah tersebut kemudiannya meningkat secara berperingkat sehingga mencecah 8,000 orang.

   Kempen yang membincangkan isu khusus mengenai murtad di kalangan Muslim mendapat liputan meluas melalui media elektronik, media cetak, serta blog, forum, Facebook dan Twitter ternyata gagal apabila publisiti yang hebat tidak mampu untuk menarik lebih ramai peserta untuk hadir ke perhimpunan tersebut.

   Pengerusi perhimpunan yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya tetap berasa bangga dan gembira dengan kejayaan perhimpunan itu walaupun angka kehadiran peserta tidak mencapai sasaran. 

   Hasil daripada tinjauan Jurnalis Shah Alam mendapati HIMPUN, tetap berjaya dengan misinya, apatah lagi terdapat beberapa orang bukan Islam yang turut hadir ke perhimpunan tersebut.

   Menurut salah seorang peserta, Mohd Khairil Amrin Amran, 32, berkata, HIMPUN adalah salah satu langkah yang boleh dianggap berjaya apabila misinya untuk menyatukan umat Islam dalam membanteras gejala murtad yang semakin berleluasa menampakkan hasil apabila lebih daripada 8,000 orang hadir.

   “Walaupun sasaran 100, 000 peserta gagal namun apa yang penting adalah matlamat HIMPUN tercapai dan perhimpunan berlangsung dengan tertib serta tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini”, tambah beliau.

   Ketika ditanya mengenai tindakan sesetengah masyarakat yang cuba membuat perbandingan antara dua peristiwa tersebut, Nor Zawieyah Ali, 43, mengulas bahawa “Kita tidak sewajarnya melakukan perbandingan jumlah peserta diantara Himpun dan Perhimpunan Bersih 2.0 kerana ini adalah dua peristiwa yang berbeza”.

   Dalam pada itu, pengerusi bersama, Dr. Yusri Mohammad mengingatkan bahawa masyarakat harus sedar dan insaf serta bersatu padu tanpa kira ideologi politik walaupun ada suara negatif diluar sana yang mengata perhimpunan ini.

   Antara kenamaan yang turut hadir ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Exco Adat-Istiadat dan Agama Negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification