Pernahkah anda merasakan bagaimana perasaan dan situasi semasa perang? Berada di dalam ketakutan menunggu masa untuk ditembak oleh pihak lawan adalah sesuatu yang tidak boleh diduga, apatah lagi apabila anda berada di dalam suasana sunyi dan gelap. Jantung pasti berdegup kencang, peluh pasti menitis tatkala muzik dan siren dibunyikan menandakan perang sudah bermula. Begitulah situasi yang dapat dirasakan sewaktu bermain perang moden yang dipanggil Laser Tag ini.
Laser Tag merupakan salah satu fenomena baru yang melanda Shah Alam, oleh kerana ia baru beroperasi selama lima bulan. Bertempat di ICity Shah Alam, Laser Tag bukanlah satu nama asing bagi mereka yang telah lama berkecimpung didalam sukan yang berteraskan penggunaan teknologi tinggi.
Laser Tag kian mendapat tempat di hati peminat tempatan disebabkan permainan ini yang berteraskan strategi dan memerlukan semangat kesukanan dikalangan pemain. Diadaptasi daripada permainan ‘paintball’, laser tag mempunyai keunikan tersendiri.
Revolusi dari aplikasi ketenteraan
Permainan Laser Tag mempunyai susur galur sejarah yang unik berbanding dengan permainan lain. Berasal daripada teknologi tentera Amerika Syarikat, aplikasi ini dicipta dengan tujuan untuk membantu pihak tentera agar askar mereka dapat menyesuaikan diri dan mempunyai kemahiran menembak yang tinggi. Direvolusikan dari aplikasi ketenteraan kepada kegunaan riadah seharian, permainan ini telah melalui beberapa siri perubahan sebelum akhirnya berjaya menembusi pasaran.
‘‘Laser Tag telah menembusi pasaran Malaysia dan bertapak disini lebih kurang 10 tahun ’’ demikian ulasan Encik Yogeshweran, Pengurus Operasi di Laser Warzone Icity Shah Alam. Beliau menambah, perintis kepada pembukaan permainan ini di Malaysia bermula di Mines, dan Galactic Laser yang terletak di Mid Valley Megamall. Beliau juga menambah bahawa teknologi yang digunakan di Galactic Laser dan Laser Warzone mempunyai sedikit perbezaan dari segi arena dan teknologi yang digunakan.
CANGGIH...peralatan yang disediakan |
Hanya menggunakan teknologi laser untuk menumbangkan pihak lawan, ianya boleh dimainkan secara individu, mahupun berkumpulan. Keunikan permainan ini adalah pemain perlu untuk menembak atau “tagging” pihak lawan dengan phaser yang berkelajuan 4 tembakan per saat.
Bagi para pemain yang masih belum biasa lagi dengan permainan ini, setiap Phaser akan mempunyai tanda kenalan unik yang tersendiri contohnya seperti Ghost, Ace, Alpha, Atom. Walaubagaimanapun jika pemain merupakan ahli, pemain akan dapat menggunakan nama samaran pilihan pemain sendiri.
Apabila telah ditembak oleh pihak lawan, maka lampu yang terdapat di Army Suit akan gelap seketika selama lima saat sebelum boleh diaktifkan semula. Pada waktu ini para pemain akan mencari ‘hiding spot’ yang baru untuk menyambung semula permainan. Arena akan dipantau oleh seorang Marshall yang berkelayakan untuk memastikan permainan berjalan lancar dan pemain mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa taklimat yang diberikan sebelum permainan dimulakan.
Laser Tag juga boleh dimainkan secara ‘indoor’ mahupun outdoor’. Walaubagaimanapun ‘indoor’ lebih dititikberatkan di Malaysia kerana tidak memerlukan teknologi yang lebih rumit dan mahal. Permainan ini digerakkan menggunakan teknologi Rift dan memerlukan sepenuhnya sistem WiFi untuk beroperasi. Kepentingan WiFI didalam permainan ini adalah supaya setiap laser yang ditembak dapat dikesan oleh gelombang WiFi dan seterusnya mendaftar markah ke sistem utama serta mengesan tembakan laser oleh para pemain didalam arena. Penggunaan WiFi amat penting sekali dimana setiap kali sebelum permainan dimulakan, para pekerja teknikal akan memastikan tiada sebarang kesulitan yang akan timbul.
Keterujaan ketika bermain permainan ini juga turut dibayangi oleh kesan sampingan yang mungkin diperoleh.
Namun andaian ini dengan pantas disangkal oleh pihak pentadbir Laser Warzone yang menegaskan bahawa laser yang digunakan tidak akan membawa sebarang kemudaratan terhadap pemain. Ini kerana proses pengkomersialkan telah memastikan laser yang digunakan tidak akan mendatangkan kecederaan kepada mata pemain misalnya yang mana acap kali menjadi kekhuatiran bagi mereka yang ingin mencuba permainan ini. Ini dikuatkan lagi dengan peratusan bahawa kecederaan yang berlaku akibat dari laser yang dipancarkan adalah 0%.
Arena yang digunakan juga memainkan peranan dalam memastikan permainan berjalan dengan lancar. Arena yang digunakan bagi acara ‘indoor’ berkeluasan 7000 kaki persegi manakala bagi ‘outdoor’ pula keluasan mungkin menjangkau beberapa kali ganda. Dilengkapi dengan halangan dan pertahanan bagi melindungi dan menyerang pihak lawan seperti tona cahaya, arena Laser Tag juga memberi peluang kepada pemain untuk mengubah landskap medan pertempuran mereka mengikut citarasa yang tersendiri dan idea mereka haruslah disalurkan ke pihak pengurusan untuk pertimbangan.
Teknologi Rift
Rift merupakan salah satu teknologi yang diguna pakai oleh kebanyakan syarikat yang mengoperasikan permainan Laser Tag dimana Rift sendiri telah menjadi pengeluar alatan terbesar untuk permainan ini sejak 1989 lagi. Phaser yang dicipta oleh sistem Rift ini berkemampuan untuk menghasilkan laser hijau yang jelas serta memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Vest ciptaan Rift pula dibina dari trempolin yang membolehkan pemain tidak sesak nafas serta tahan lasak kepada kotor dan bauan. Ini penting untuk memastikan kebersihan pemain yang menggunakannya berada ditahap yang optimum. Ini diakui oleh Encik Ismail Ramli yang juga merupakan Penyelia Operasi di situ. “Kelengkapan Laser Tag sukar dan jarang akan mengalami kerosakkan kerana bahan yang digunakan datang dari sumber yang berkualiti. Tambahan pula teknologi yang digunakan seperti cip dan perisian untuk mengoperasi datang dari negara luar” ujar beliau lagi.
Bertitik tolak dari teknologi yang berkembang pesat sejajar dengan keperluan manusia untuk mengecapi cabaran yang lebih mantap, Laser Tag hadir untuk mengisi permintaan dan memenuhi aktiviti lapang mereka yang sentiasa mahukan cabaran dan kelainan. Keterujaan selama 10 minit beraksi ketika bermain sudah cukup untuk membuktikan kepuasan sebenar yang tidak boleh dinafikan bagi mereka yang pernah mencuba permainan ini.
0 comments:
Post a Comment