SHAH ALAM: Pasukan ragbi UiTM muncul juara bagi Piala Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ke 2 setelah menewaskan Politeknik Shah Alam dengan mata 19-0 pada 15 dan 16 Oktober yang dianjurkan oleh Pusat Sukan UPNM.
Kejohanan ini disertai oleh 16 buah IPT seperti UNITEN, UTHM, Politeknik Merlimau, IKIP International College, UiTM, UTeM, UTM, UMT, UM dan lain-lain.
Pasukan UiTM menewaskan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 19-0 pada peringkat suku akhir, sementara peringkat separuh akhir UiTM mengalahkan UPNMA 5-0.
Zamri Abd. Kahar, jurulatih ragbi UiTM berkata, “Pasukan kami sangat yakin dengan kejohanan kali ini kerana pengalaman yang ada pada setiap pemain dan juga latihan yang secukupnya diberikan sehingga ke perlawanan menyebabkan mereka sangat bersemangat untuk menjuarai acara ini.
“Namun, pasukan kami tidak sama sekali berasa selesa pada kedudukan terkini kerana kami perlu mengekalkan tahap perlawanan serta mempunyai keyakinan yang tinggi untuk terus maju dan berjaya pada peringkat seterusnya,” tambahnya lagi.
Dua orang pemain dari kampus cawangan iaitu UiTM Perak telah dipilih berdasarkan kebolehan dan kehebatan mereka untuk beraksi dalam pasukan ini kerana mampu memberi kekuatan yang jitu dan ternyata mereka menunjukkan kematangan bermain bagi mengungguli kejohanan ragbi pada kali ini.
Menurut pemain ragbi UiTM , Shah Izzat Shah Rudin, berkata “Ia juga adalah satu kejayaan yang telah dijangka oleh pasukan kami kerana melihatkan prestasi perlawanan pada kali ini ia telah memberi kami banyak peluang serta kekuatan untuk menumpaskan pihak lawan.
“Sudah pasti kami tidak mensiakan peluang yang ada sekaligus mencapai matlamat kami untuk memenangi perlawanan ini dan kami juga seharusnya berbangga kerana segala tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih kami sendiri dapat diaplikasikan semasa perlawanan,” ujarnya.
Walaupun pasukan ini telah kecundang di separuh akhir pada kejohanan yang sama tahun 2010 namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain kerana mereka yakin dengan perlawanan yang akan datang memberikan sinar baru buat mereka.
0 comments:
Post a Comment