BILANGAN PENGUNJUNG

Saturday, 12 November 2011

Biar Papa Asal Bergaya

Shah Alam: “Cantiknya beg Charles and Keith tu, nanti time aku dapat duit PTPTN mesti aku beli satu”, demikianlah satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pelajar Intsitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ketika ditemui baru-baru ini di salah sebuah pusat membeli belah, di sini.

   Biar papa asalkan bergaya, wabak dan sindrom yang sukar untuk dikikis dari hati nurani dan resam hidup sebilangan besar masyarakat Melayu terutamanya di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) manakala ada yang sanggup mengikat perut demi memenuhi nafsu untuk tampak bergaya dan cantik.

   Pasti ada yang tersenyum bila ia terkena batang hidung sendiri atau mungkin anda agaknya?
Ada yang mengatakan bahawa walaupun rupa paras kurang cantik namun gaya dan personaliti akan membuatkan seseorang itu menjadi perhatian.

   Adakah itu yang anda mahukan? Ada juga yang berpendapat jikalau cantik tetapi kurang bergaya akan menjadikan penampilan mereka juga kurang terserlah.

   Sehubungan itu, ramai pelajar institusi tinggi awam mahupun swasta yang ingin kelihatan bergaya, seperti teman-teman lain yang berpakaian mengikut peredaran fesyen masa kini, yang tentunya berharga mahal.

   Namun begitu anda masih boleh bergaya walaupun bukan dengan memakai barangan yang berjenama dan mahal misalnya barangan kosmetik, pakaian, atau lain-lain.

   Jika teman-teman anda membeli barangan berjenama seperti M.A.C, apa salahnya jika anda memakai barangan buatan Malaysia seperti Simply Siti sahaja kerana harganya lebih murah dan mempunyai kualiti yang sama dengan barangan berjenama mahal.

   Fenomena ini dilihat semakin meruncing dikalangan pelajar institusi pengajian tinggi kerana mereka sanggup menyalahgunakan duit pinjaman yang diberi semata-mata untuk memuaskan nafsu bergaya dan sikap menunjuk-nunjuk dikalangan mereka sendiri.

   Sementara itu, Pengurus Asrama Unit Pengurusan NR, Amizar Mohd Amin berkata fenomena ini membawa kesan yang negatif kepada pelajar sekiranya pelajar masih lagi teikut dengan budaya biar papa asal bergaya ini.
  
   “Mereka tidak memikirkan akibat yang akan mereka tanggung di masa hadapan kelak,”jelasnya.
Justeru, kata beliau, para pelajar perlu tahu tentang keperluan menggunakan pinjaman tersebut bagi membiayai perbelanjaan pengajian masing-masing dan bukannya untuk tujuan yang tidak berfaedah.

   “Kita dapat lihat, sebaik sahaja pelajar mendapat wang pinjaman, maka kedai-kedai telefon akan dipenuhi dengan pelajar untuk menukar telefon baru dan ramai pelajar akan membanjiri pusat membeli-belah untuk membeli pakaian baru,”katanya lagi.

    Menurut, Nabilah Fatin, 23, dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, dia beranggapan bahawa kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama.

   “Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya satu kemestian dan anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi”, katanya lagi.
Nur Shazwani, 20, dari Fakulti Perubatan berkata pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. 

   “Jika ribuan ringgit di habiskan semata-mata untuk menata gaya bagi tujuan bersaing dengan rakan-rakan, pastinya itu adalah satu pelaburan yang amat merugikan,” begitulah pandangan lagi.

   Kita diberi keupayaan dan anugerah untuk berfikir dan merancang kehidupan dengan sebaik-baiknya.
Sanggupkah anda  bekerja bermati-matian hanya untuk membayar hutang-hutang lampau anda.

   Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif  dan kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya  tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif.

   Jadi, berbelanjalah mengikut kemampuan dan elakkan berbelanja mengikut nafsu, trend atau kehendak semasa.

   "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." Petikan dari Surah al-Israa : 27

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification